KUALA LUMPUR - Seramai 85 gelandangan diselamatkan menerusi satu operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi di beberapa kawasan hotspot di ibu negara pada Sabtu.
Menurut kenyataan Jabatan Wilayah Persekutuan, operasi itu dilaksanakan bagi membendung kebanjiran gelandangan demi meningkatkan imej eksklusif Bandaraya Kuala Lumpur menjelang Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Operasi bersepadu itu juga bersifat sebagai serampang dua mata bagi memberikan peluang kehidupan lebih baik kepada gelandangan di samping memastikan imej Kuala Lumpur bersih dan sejahtera.
"Antara kawasan hotspot yang menjadi tumpuan operasi adalah sekitar Chow Kit, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Brickfields dan Bangkok Bank.
"Seramai 85 gelandangan diambil untuk pemeriksaan selanjutnya oleh pelbagai agensi berkaitan," kata jabatan itu dalam kenyataan itu di laman Facebooknya.
Jabatan Wilayah Persekutuan turut memaklumkan, operasi pelbagai agensi itu diketuai Timbalan Ketua Pengarah (PSE) Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai@ Thomas.
Turut serta, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Zulkifli Muhammad dan Pengarah Bahagian Sosio Ekonomi Jabatan Wilayah Persekutuan, Mohd Sharif Mohamad Yaakob.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!