Lantik 200 Duta Online KPKT merugikan - Zuraida

Iklan
Zuraida

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming perlu memberi fokus mengendalikan isu berkaitan perumahan serta tidak menggunakan kakitangan kerajaan menjadi 'cybertrooper' atau tentera siber demi survival politik.

Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tindakan tersebut merupakan langkah dangkal dan tidak beretika dalam menerajui sesebuah kementerian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mana-mana kementerian lain tidak perlu menjadi defensif setiap kali dikritik sebaliknya, mengambil perkara itu sebagai maklum balas bagi meningkatkan kualiti kerja.

"Beliau perlu beri fokus kepada tanggungjawab dalam mengendalikan isu dan inisiatif KPKT dengan lebih efektif dan bukan menggunakan kakitangan kerajaan demi survival politik.

Iklan

"Sebagai bekas Menteri KPKT, saya faham bahawa sememangnya KPKT adalah antara kementerian paling banyak dikritik tidak kira gabungan parti mana yang memegang tampuk pemerintahan negara.

"Ini adalah lumrah, yang mana kita sebagai pemimpin di dalam negara demokrasi, perlu sentiasa menerima kritikan dan komen daripada rakyat sama ada negatif mahupun positif,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Pada 13 Jun lalu, KPKT melantik 200 Duta Online yang terdiri daripada kakitangan kementerian itu bagi menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih serta polisi kerajaan secara efektif.

Menterinya, Kor Ming berkata, pasukan itu akan menggunakan bahasa dan pendekatan lebih mudah difahami rakyat bagi menyampaikan dasar yang diperkenalkan kerajaan.

Mengulas lanjut, menurut Zuraida, pelantikan 200 duta itu ialah tindakan yang amat merugikan kerana tenaga dan masa kakitangan tersebut amat diperlukan bagi menjalankan tugas hakiki.

Jelasnya, Malaysia mempunyai jentera komunikasi yang mencukupi di bawah Kementerian Komunikasi iaitu Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan juga Unit Komunikasi Korporat bagi setiap kementerian serta agensi di Malaysia.

Tambah beliau, lantikan duta itu dilihat sebagai usaha menjadikan kakitangan penjawat awam diserap menjadi jentera politik.

"Jadi apa gunanya melantik 200 orang kakitangan awam untuk menjadi duta online KPKT?

"Kita khuatir lantikan 200 duta ini bukan sahaja mengganggu kerja hakiki mereka, tetapi digunakan untuk menjadi jentera politik kepada parti pemerintah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!