YAN - Dua beradik maut dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Teroi Titi Lahar di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Muhammad Zulqarnain Mohd Delmi, 22, dan adiknya, Ahmad Firashi Ilyas, 11, yang berasal dari Kampung Charuk Tala, Sik meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.
Manakala pemandu kereta Toyota Vios berusia 61 tahun pula cedera di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS-X yang dinaiki dua beradik itu datang dari arah Yan menghala ke Gurun manakala kereta Toyota Vios terbabit dari arah bertentangan.
"Kereta Toyota Vios yang dipandu warga emas terbabit dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua beradik itu.
"Akibat pertembungan itu, penunggang dan pembonceng motosikal terpelanting dan terseret ke bahu jalan.
"Mayat mereka kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Shahnaz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!