SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor meningkatkan jumlah Insentif Haji Muassasah dari RM500 kepada RM1,000 bermula tahun ini yang memberikan manfaat kepada 6,000 jemaah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian wang tunai itu melibatkan pertambahan peruntukan berjumlah RM6 juta berbanding RM1.5 juta kepada 3,000 jemaah dua tahun lalu.
Amirudin menjelaskan, peningkatan jumlah insentif dan jemaah menjadi bukti semangat serta komitmen pentadbiran kerajaan di negeri berkenaan dalam mengangkat nilai Islam.
"Bagi dua tahun sebelum ini, kerajaan negeri memberi RM500 termasuk kit haji kepada 3,000 tetamu ALLAH yang mengunjungi Baitullah.
"Bagaimanapun tahun ini, kita beri RM1,000 dan penerima juga dinaikkan lagi 3,000 orang. Kerajaan negeri memperuntukkan RM6 juta agar niat murni ini menjadi satu kenyataan.
"Pemberian ini diharap dapat menampung perbelanjaan serta membolehkan insan terpilih beribadah dengan selesa di tanah suci,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.
Pada 3 Mei, media melaporkan Amirudin mengumumkan Insentif Haji Muassasah meningkatkan dari RM500 kepada RM1,000 yang memanfaatkan 6,000 jemaah haji pada tahun ini, melibatkan peruntukan berjumlah RM6 juta.