JUARA tiga kali, Sepanyol menghadirkan bayangan status sebagai pencabar kejuaraan Euro Jerman 2024 selepas menewaskan Croatia 3-0, dalam perlawanan kumpulan B di Olympiastadion Berlin.
Tiga gol separuh masa pertama membolehkan La Roja selian Luis de la Fuente menenggelamkan Vatreni asuhan Zlatko Dalic bagi memperoleh mata maksimum dalam aksi pembukaan kumpulan B.
Sepanyol yang memburu rekod kejuaraan Euro keempat, menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit, bermula dengan Fabian Ruiz meletakkan nama Alvaro Morata sebagai penjaring pada minit ke-29.
Sebelum jaringannya minit ke-32 melebarkan kedudukan diikuti voli minit ke-47, Dani Carvajal hasil bantuan Lamine Yamal,16, pemain termuda yang pernah beraksi di kempen Euro.
Mengulas mengenai perlawanan itu Morata:"Kami mengasak dengan rentak tinggi tanpa henti dari awal dan gembira keputusan memihak kami tambahan pula menentang pasukan hebat.
"Itulah yang perlu kami lakukan, memulakan permainan dengan memberikan tekanan bagi menundukkan saingan kami lebih awal," kata Morata.
Sementara itu, Ruiz yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan berkata:"Pasukan ini telah melakukan kerja yang hebat. Kami mencapai apa yang kami mahu lakukan.
"Malah, kami bekerja keras untuk semua itu dan paling penting untuk kami tampil dalam perlawanan ini sebagai satu unit pasukan."
Dalam pada itu, Yamal mengakui gembira untuk kemenangan bagi penampilan sulungnya.
"Kini kami menukar fokus kami ke perlawanan seterusnya. Saya di sini untuk bantu pasukan dan komited bantu apa sahaja yang diperlukan pasukan.
"Kami pasukan yang sangat cekap berkemahiran tinggi menyaksikan tugasan yang kami lakukan sejak beberapa bulan lalu ternyata berbaloi dengan hasil ditunjukkan hari ini."
Sementara itu, pemain tengah Croatia, Lovro Majer berkata:"Saya fikir kami bermula dengan baik, tetapi mereka menjaringkan gol dari setiap peluang, itulah kualiti mereka. Itu sahaja. Saya tidak boleh mengatakan mereka mengejutkan kami, kerana sememangnya kami menjangkakannya."