JDT akui sukar tembusi benteng Kelantan FC

Iklan
Hector Bidoglio

PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui sukar untuk merobek pertahanan Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada malam Sabtu.

Menurutnya, corak pertahanan secara berterusan dan kukuh itu menyukarkan Harimau Selatan menembusi benteng pertahanan lawan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, walaupun menang selesa 4-0 ke atas KDNFC, pihaknya yakin anak buahnya mampu beraksi dengan lebih baik lagi.

"Masih ada ruang untuk diperbaiki terutamanya daripada aspek ketepatan hantaran akhir yang membawa kepada jaringan gol.

Iklan

"Bagi saya ini adalah perlawanan yang sukar setelah lawan memilih untuk bertahan secara kompak hingga menyukarkan pemain untuk mencipta ruang. Walaupun ada peluang gol yang dihasilkan, tetapi ia tidak berjaya diterjemahkan dengan baik.

"Saya lihat terdapat beberapa hantaran akhir yang kurang tepat meletakkan pemain di posisi sukar untuk skor. Ini adalah aspek yang perlu diperbaiki pada perlawanan akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Iklan

Beliau berkata, secara keseluruhan pihaknya masih berpuas hati dengan persembahan pemain yang mempamerkan permainan berintensiti tinggi serta dinamik.

Jelas pengendali kelahiran Argentina itu, corak permainan tersebut mampu memberi ancaman dari setiap arah.

Tambah Bidoglio, tempoh rehat yang panjang selama tiga minggu memberi kesan kepada persiapan pasukan menjelang aksi malam tadi.

"Saya tak suka apabila berdepan tempoh rehat yang panjang, kalau boleh kami mahu beraksi setiap minggu supaya dapat mengekalkan intensiti permainan kami.

"Sejak Liga Malaysia bermula pada awal bulan lalu, ini merupakan perlawanan ketiga kami, mahu tak mahu kami terpaksa akur setelah jadual perlawanan ini mengikut jadual antarabangsa FIFA," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menitipkan pujian kepada Romel Morales dan Chico Geraldes yang masing-masing mencetak satu gol dalam aksi pusingan 16 Piala FA, pada malam Sabtu.

Katanya, kedua-dua pemain import itu memberi nilai tambah kepada pasukan yang menyaksikan JDT beraksi lebih baik dengan melakukan umpanan berbahaya malah mampu mencipta jaringan.

"Dalam pasukan seperti JDT, bukan mudah untuk memilih kesebelasan utama yang terbaik kerana pemain yang berada di bangku simpanan juga mempunyai kualiti yang sama.

"Romel (Morales) dan Chico (Geraldes) yang dibawa masuk membuktikan kemampuan mereka sebagai pemain gantian, Arif Aiman Hanapi juga tidak terkecuali kerana kita tahu kualiti yang dimiliki," katanya.