DUNGUN - Sangkaan seorang pemuda bahawa objek yang dijumpai di Pantai Teluk Lipat dekat sini merupakan seekor penyu yang mendarat untuk bertelur meleset kerana ia adalah bangkai haiwan itu yang telah mati.
Arif Jalaludin Mohd Ali, 29 berkata, dia menemukan bangkai reptilia itu sekitar jam 7.30 pagi ketika sedang beriadah di pantai berkenaan pada Ahad.
Menurutnya, dia terperanjat kerana sebaik mendekati 'objek' itu, badan reptilia daripada spesies penyu agar itu sudah mulai mereput dan busuk.
"Apabila nampak dari jauh saya ingatkan penyu tu mendarat ke pesisir pantai untuk bertelur, rupa-rupanya ia sudah mati.
"Saya sangka ia masih hidup sebab dari jauh nampak seolah-olah kaki dan kepalanya macam bergerak-gerak, rupanya pergerakan itu disebabkan badannya ditolak ombak,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Arif Jalaludin berkata, dia percaya penyu itu telah mati beberapa hari lalu kerana beberapa anggota badan termasuk bahagian mata sudah reput.
Ariff yang masih terkejut dengan penemuan itu berkongsi maklumat mengenainya di media sosial.
Katanya, selain menjumpai penyu mati, dia turut menemukan sampah sarap yang dibuang merata tempat ketika beriadah di kawasan pantai tersebut.