ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyifatkan penemuan lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik di Gunung Pulai, Baling dekat sini, sebagai peluang keemasan untuk dijadikan produk pelancongan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, operasi kuari di Gunung Pulai dihentikan apabila menyedari potensi kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, kini pihaknya menunggu laporan dari Jabatan Warisan Negara (JWN) berhubung penemuan artifak berusia 17,000 di gua Gunung Pulai.
"Kita menunggu laporan dari jabatan berkenaan berkaitan penemuan artifak itu seperti mana yang dilaporkan. Kita ingin tengok bagaimana ingin menguruskan perkara ini.
"Sebelum ini, kita menghentikan kerja kuari di Gunung Pulai kerana kita mencadangkan ia sebagai destinasi pelancongan. Jadi, ini satu peluang apabila ada penemuan artifak sebegini supaya ia boleh dijadikan tarikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman dan Kerjasama Pelaburan di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan JWN menemui lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dalam bentuk peralatan batu, pecahan tembikar dan kulit siput sungai dianggarkan berusia 17,000 tahun di beberapa buah gua di Gunung Pulai, Baling di sini.
ARTIKEL BERKAITAN: Artifak 17,000 tahun: Bukti kewujudan Hoabinhian
Artifak berusia 17,000 tahun ditemui di gua Gunung Pulai
Pesuruhjaya Warisan yang juga Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop berkata, artifak itu ditemui di tapak-tapak baharu ekskavasi seperti Gua Kelambu, Gua Tembus dan Gua Akar ketika jabatannya sedang menjalankan eksplorasi di kawasan berkenaan antara April hingga Oktober tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli berkata, penemuan artifak tinggalan prasejarah menunjukkan bukti kewujudan kelompok manusia kebudayaan Hoabinhian antara 3,000 tahun hingga 17,000 tahun.