Remaja lemas ketika memancing di bekas lombong emas

Iklan
Operasi SAR bersama penduduk kampung berjaya menemukan mangsa yang dilaporkan tenggelam di bekas lombong emas, Jalan Sungai Tabah, Kampung Merapoh pada Ahad. Foto Polis Lipis

LIPIS - Seorang remaja lelaki ditemukan lemas di kawasan bekas lombong emas di Jalan Sungai Tabah, Kampung Merapoh di sini, pada Ahad.

Mangsa, Muhammad Adam Harris Mohd Azman, 18, bersama sepupunya berusia 13 tahun ke lokasi kejadian untuk memancing kira-kira jam 7 malam, pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahkota 2, Besut, Terengganu, dilaporkan tenggelam selepas bertindak turun ke lombong itu bagi mendapatkan mata jorannya yang terputus.

"Mangsa berenang pada jarak 12 meter dari daratan untuk mendapatkan mata jorannya.

Iklan

"Semasa berpatah balik ke darat, mangsa kelihatan tidak terdaya lalu lemas dan tenggelam.

"Ketika kejadian, mereka hanya berdua di kawasan lombong itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama penduduk kampung selepas menerima laporan.

Jelasnya, mangsa telah ditemukan kira-kira jam 2.50 pagi, Ahad.

"Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan di Klinik Kesihatan Merapoh pada jam 3 pagi.

"Seterusnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut dan siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan diri semasa melakukan aktiviti di air dengan persiapan jaket keselamatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!