PEMAIN badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menambah koleksi kejuaraan tahun ini apabila menjuarai Terbuka Australia yang berlangsung di Quaycentre, Sydney pada Ahad.
Kejuaraan Super 500 itu menjadi milik jejaka dari Alor Setar, Kedah tersebut selepas menewaskan bintang sensasi Jepun, Kodai Naraoka dalam perlawanan akhir yang berlarutan selama 78 minit.
Zii Jia yang tampil dengan reputasi juara Terbuka Thailand Super 500 bermula garang, namun diajak berhempas pulas sebelum menang 21-19.
Set kedua, giliran Kodai Naraoka yang berstatus nombor enam dunia kembali garang meninggalkan jauh pilihan nombor lapan dunia itu dengan 21-11 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga, pemain berusia 26 tahun negara yang merupakan antara taruhan membawa pulang pingat emas Olimpik sulung Malaysia dari Sukan Olimpik Paris 2024, bermula agak ketinggalan.
Namun kematangan sekali lagi menyaksikan naib juara Malaysia Masters Super 500 itu bangkit mengejar Kodai Naraoka sebelum menang, 21-18 bagi membawa pulang hadiah AS$31,500 (RM148,069) manakala Naraoka juga tidak pulang tangan kosong apabila meraih AS$15,960 (RM75,022).
Sementara itu, gandingan beregu wanita negara, Lai Pei Jing-Lim Chiew Sien terpaksa akur rezeki bukan milik mereka apabila tewas kepada wakil Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amallia Cahaya Pratiwi (18 dunia) 21-17, 7-21, 13-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 74 minit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!