SELAYANG - Tiba masa golongan muda mengambil alih dan mendalami bidang penyembelihan haiwan ternakan daripada orang lama yang berpengalaman.
Setiausaha Persatuan Penyembelih Ternakan Halal Malaysia (PPTH) cawangan Kuala Lumpur, Muhammad Mukmin Nusril berkata, tidak ramai anak muda mempunyai kemahiran dan keberanian apabila masih bergantung harap tenaga orang lama menyempurnakan urusan sembelihan terutama ketika ibadah korban dan akikah.
Beliau menyuarakan kebimbangan, sikap tidak cakna terhadap kepentingan bidang itu bakal menyebabkan situasi kekurangan tenaga berkemahiran pada masa akan datang.
"Orang muda ramai tak tahu cara sembelih ternakan menyebabkan apabila terlalu banyak program korban maka berlaku situasi tidak cukup tenaga kerja hingga terpaksa import atau minta bantuan warga asing.
Muhammad Mukmin, 22, berkata, menjadi cabaran masa kini untuk menarik anak muda menceburi bidang tersebut kerana persepsi kerja berat dan kotor selain faktor keberanian.
Bagaimanapun katanya, bidang sembelihan berpotensi mengisi peluang pekerjaan kerana terdapat permintaan dalam industri halal di dalam dan luar negara.
"Kemahiran ini bukan hanya boleh digunakan ketika ibadah korban sebaliknya boleh mengisi sektor pekerjaan tempatan di pusat sembelihan bagi menggantikan warga asing selain kelebihan status halalnya lebih diyakini.
"Bidang ini juga ada permintaan pasaran kerja luar negara seperti New Zealand dan Australia sebagai penyedia bekalan hub halal. Malah pasaran Asia Tenggara seperti Vietnam dan Kemboja juga ke arah itu," katanya.
Berkongsi lanjut, anak jati Selayang itu berkata, dia yang mempunyai kesedaran akan keperluan tenaga mahir tersebut telah mula berjinak dalam bidang itu sejak dibangku sekolah.
"Seawal usia 16 tahun saya telah diberikan peluang melakukan sembelihan ternakan ketika mengikuti kursus tersebut yang dikendalikan oleh guru saya, Abd Halim Zakaria merangkap Pengerusi PPTH Kuala Lumpur.
"Walaupun ada sijil sembelihan namun saya masih bermula dari bawah dengan mulanya membantu dalam program korban dari pegang kaki lembu, melapah dan membungkus daging korban.
"Hanya tahun keempat barulah diberikan kepercayaan melakukan sembelihan berkenaan dan sehingga kini terlibat aktif memenuhi permintaan khidmat sembelihan terutama ketika Aidiladha," katanya.
Justeru katanya, anak muda perlu diberikan pendedahan awal melalui kursus di sekolah selain masjid juga berperanan menganjurkan kursus berkelompok buat ahli kariah dan penduduk setempat.
"Kita perlu ambil berat dan ambil tahu kerana kerja sembelihan ini bukan hanya diperlukan waktu raya korban sahaja tetapi juga dalam urusan sumber makanan harian kita yang akhirnya menjadi darah daging kita.
"Ia berkait status halal yang walaupun terdapat agensi yang membuat pemantauan tapi pada saya lebih baik urusan sembelihan itu dilakukan oleh orang kita dari warga asing," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!