MAKKAH -"Saya seperti tidak percaya melihat Masjidil Haram di depan mata.
Saya bernasib baik kerana nyawa masih panjang dan terselamat daripada kematian beribu kali."
Kata-kata sebagai tanda syukur itu dizahirkan tetamu ALLAH, Aouni Abdul Hamid kepada portal The National ketika dia tiba di kota suci Makkah untuk mengerjakan Rukun Islam Kelima pada musim ini.
Pemandu ambulans di bawah Kementerian Kesihatan di Genting Gaza itu pernah memperjudikan nyawa pada 60 hari pertama perang genosid itu tercetus untuk membawa dan membantu mangsa cedera.
"Saya telah memindahkan ratusan mangsa cedera.
Tetapi, saya gagal menyelamatkan ahli keluarga sendiri.
Rumah saya sudah musnah dibom apabila saya cuba mendapatkan mereka yang gugur syahid," katanya dalam nada sebak.
Abdul Hamid merupakan salah seorang daripada 1,000 jemaah Palestin yang menerima jemputan khas daripada pemerintah Arab Saudi, Raja Salman untuk mengerjakan haji pada kali ini.
Di bawah inisiatif itu, seramai 2,000 jemaah Palestin diberi undangan istimewa tersebut di tengah-tengah kempen pengeboman rejim Zionis yang masih sengit di seluruh Gaza.
Mangsa kekejaman rejim Zionis
Abdul Hamid yang ditempatkan di sebuah hotel di kawasan kejiranan Ray Bakhsh turut berkongsi kisah penderitaannya yang pernah dipenjarakan selama tiga bulan.
"Akibat diseksa dengan teruk sepanjang tempoh itu, tiga jari kaki saya terpaksa dipotong.
Dengan pertolongan ALLAH, saya akhirnya dibebaskan dan kemudiannya menjalani dua pembedahan pada kaki.
"Saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang untuk menunaikan haji pada kali ini," ujarnya lagi.
Seorang lagi jemaah yang senasib dengannya kerana kehilangan seluruh ahli keluarganya dalam ofensif ganas Israel, Abdullah Hassan juga memanjatkan rasa syukur kerana menjadi tetamu ALLAH.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pemimpin dan rakyat Saudi atas inisiatif berharga ini yang sedikit sebanyak dapat meringankan penderitaan kami.
"Mungkin ia akan membantu kami mencari ketenangan sepanjang waktu beribadah di sini," jelasnya.
Selain itu, Harbi al Suwaikiri yang berkerusi roda kerana kakinya kudung juga amat teruja kerana menerima jemputan khas haji tersebut.
"Saya meringkuk di dalam penjara selama 10 tahun.
Sebelum ini, Israel menjatuhkan hukuman penjara 800 tahun kerana saya adalah jeneral di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA).
"Saya tidak pernah bayangkan akan menjejakkan kaki di Tanah Suci Makkah dan akan memakai ihram seperti ini.
ALLAH Maha Berkuasa.
Saya dibebaskan ketika krisis baru-baru ini.
"Tetapi, saya cedera dalam kempen pengeboman hingga kaki saya terpaksa dipotong hingga paras lutut.
Tetapi, kesakitan ini dilupakan seketika kerana dapat menyahut panggilan Baitullah," menurutnya dalam nada sedih.
Tambahnya, dia akan kembali semula ke Gaza dengan lebih bersemangat berserta harapan baharu. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!