Denmark gagal pertahankan gol awal Eriksen

Iklan
Eriksen memastikan Denmark memimpin separuh masa pertama ketika berdepan Slovenia. Foto Agensi

BEKAS juara edisi 1992, Denmark seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila membuang kelebihan dalam perlawanan yang sepatutnya dimenangi apabila sekadar meraih keputusan seri 1-1 menentang Slovenia dalam aksi pembukaan Kumpulan C Euro Jerman 2024 di MHPArena.

Danish Dynamite terlebih dulu memimpin separuh masa pertama menerusi jaringan bintang Manchester United, Christian Dannemann Eriksen minit ke-17 yang menyudahkan sentuhan tonggak kelab Bundesliga Jerman, VfL Wolfsburg, Jonas Older Wind mengatasi angkatan Matjaz Kek.

Iklan
Iklan

Denmark separuh masa kedua konsisten menikmati penguasaan bola, namun bergelut mencipta peluang menggandakan pendahuluan terutamanya Rasmus Winther Hojlund selain kecemerlangan penjaga gawang Slovenia, Jan Oblak yang berpengalaman bersama kelab La Liga Sepanyol, Atletico Madrid.

Kelebihan satu gol itu akhirnya dipadamkan menerusi keberhasilan sepakan sudut dimanfaatkan bintang pertahanan kelab liga Slovenia, Gornik Zabrze, Erik Janza hasil kealpaan pertahanan Denmark setelah Morten Blom Due Hjulmand terbias sebelum menewaskan Kasper Peter Schmeichel minit ke-77 bagi mengikat perlawanan.

Iklan

Pengendali Denmark, Kasper Hjulmand mengakui kecemerlangan dijanakan awal Eriksen menjaringkan gol pembukaan dan mencipta hampir segala-galanya untuk pasukan, dikecewakan pertahanan pasukan yang kehabisan tenaga pada separuh masa kedua.

"Sudah tentu, perlu ada tenaga sepanjang masa, tetapi itulah yang berlaku dalam permainan bola sepak, kadangkala ia berubah tetapi saya percaya kegagalan menggandakan gol pada separuh masa kedua juga mempengaruhi momentum pasukan," ujarnya.

Iklan

Denmark digerakkan Eriksen, yang dipilih pemain terbaik perlawanan, Hjulmand berusia 53 tahun itu memuji keupayaan pemain tengah itu mengawal permainan selepas pulih dari serangan jantung semasa perlawanan pembukaan Euro 2020 menentang Finland di Parken, Copenhagen.

"Dia (Eriksen) mempunyai sesuatu yang sangat istimewa. Dia menggerakan permainan untuk kami hari ini dan dia adalah rentak pasukan kami.

"Kami mahu mendorongnya hampir ke gawang seperti semua lihat hari ini, kerana dia mempunyai kemahiran penyudah dan penembusan yang kami perlukan bagi mengatasi lawan," ujar Hjulmand.

Sebelum ini, Hjulmand dikritik hebat kerana bergantung kepada Eriksen, yang kurang digunakan Manchester United musim lalu, namun dia tetap teguh berpendirian mengunakan kudrat pemain berpengalaman tersebut.

"Saya tidak pernah mempunyai keraguan terhadap Christian sebagai pemain bola sepak, anda tidak boleh menyekatnya atas hujah seperti itu.

"Ya, dia pemain semula jadi yang tahu rentak permainan - kami katakan dia nadi permainan Denmark. Bagi saya dia seorang pemain yang hebat dalam dan luar padang dan dia menunjukkannya hari ini," katanya.

Denmark akan menentang England dalam perlawanan kumpulan seterusnya di Stadium Deutsche Bank Park pada Jumaat sebelum berdepan Serbia di Allianz Arena, 26 Jun.