MACHANG - Seorang peniaga arang sanggup berulang-alik sejauh 110 kilometer setiap hari untuk memproses arang tempurung yang diusahakan selepas tempahan meningkat lebih 50 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada Isnin.
Nik Zaki Alhadi Nik Mustapa, 32, yang tinggal di Kampung Tanjung Mas, Kota Bharu memandu kenderaannya ke Kampung Bukit Tiu di sini tidak menang tangan menghantar bekalan arang kepada pelanggan di seluruh negeri.
Nik Zaki Alhadi ketika ditemui di lokasi memproses arang itu memberitahu mula sibuk mengumpul tempurung sebelum dihantar kepada seorang pembakar di Kandis, Bachok.
"Saya mengupah pembakar tempurung pada harga RM1 sekilogram dan maksimum penghantaran ialah 200 kilogram seminggu," katanya.
Nik Zaki Alhadi berkata, pembakaran arang tempurung sebenarnya tahan lebih lama iaitu antara tiga hingga empat jam berbanding arang kayu.
"Biasanya dalam tempoh pembakaran itu, beberapa kilogram ikan dapat dibakar selain daging yang masak lebih elok tanpa menunggu lama," katanya.
Jelasnya lagi, pelanggan tidak berkira walaupun harganya agak mahal berbanding arang kayu namun sangat berbaloi dan lebih jimat.
Berkongsi kaedah pembuatan arang berkenaan, Nik Zaki Alhadi membeli bekalan tempurung kelapa di beberapa kedai menjual santan di sekitar bandar dan Pulai Chondong di Machang, Pasir Puteh serta Kuala Krai.
Bapa kepada tiga anak berusia di antara dua hingga lapan tahun itu berkata, membuat arang mengambil masa agak lama kerana proses mengering yang lambat bergantung pada cuaca.
Jelasnya, buat masa ini kaedah pengeringan dilakukan secara manual sahaja kerana dia masih mengumpul modal untuk membeli peralatan khas.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana arang ini berkualiti tinggi dan lebih mampat yang menjadi faktor pembakaran lebih baik," katanya.
Bekas seorang kakitangan di sebuah syarikat automotif itu berkata, arang yang siap proses akan diuji dengan membakarnya terlebih dahulu sebelum dijual.
Jelasnya lagi, arang akan dilupuskan jika pembakaran kurang dari tempoh dua jam kerana mahu memastikan pelanggan berpuas hati.
Nik Zaki Alhadi pada mulanya hanya belajar memproses arang melalui YouTube namun kini sudah mempunyai dua mesin khas untuk membancuh dan membentuk arang.
Dia yang kini mempunyai dua pembantu sedang memikirkan untuk bekerjasama dengan beberapa kedai runcit di negeri ini bagi meluaskan pasaran arang tempurungnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!