ALOR SETAR - Kebanyakan penternak di Kedah masih mengekalkan harga lembu korban sama seperti tahun lalu iaitu antara RM750 hingga RM800 satu bahagian.
Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd, Zainol Abidin Mohamad berkata, permintaan yang agak menurun pada tahun ini antara faktor yang menyebabkan dia mengekalkan harga tersebut.
"Di ladang kami satu bahagian lembu adalah pada harga bermula RM750 hingga RM850," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, untuk lembu berharga RM750 satu bahagian, berat kasarnya kira-kira RM250 kilogram (kg).
"Bagi lembu bernilai RM800 satu bahagian, dianggarkan seberat 300kg manakala lembu seberat kira-kira 350kg, kami tawarkan pada harga RM850 satu bahagian," katanya.
Sementara itu Pengasas Bersama Tenang Agro Farm (TAF), Muhamad Hayatullah Ibrahim ketika dihubungi berkata, ladangnya di Kampung Semeliang, Kuala Nerang juga masih mengekalkan harga RM800 untuk satu bahagian.
"Kami dapat mengekalkan harga seperti tahun lalu kerana memiliki kilang makanan (ternakan) sendiri.
"Penghasilan makanan lembu itu tidaklah besar tetapi cukup untuk menampung keperluan kira-kira 200 ekor lembu," katanya.
Sementara itu seorang peserta ibadah korban, Hifzuddin Ikhsan, 43, berkata, dia tidak melepaskan peluang melakukan ibadah korban pada tahun ini kerana melihat tiada perbezaan ketara bagi harga lembu yang ditawarkan.
"Tahun lepas saya laksanakan ibadah korban di ladang milik sebuah kenalan di Changlun, Kubang Pasu pada harga RM750 untuk satu bahagian.
"Saya difahamkan harga bagi melaksanakan ibadah korban di lokasi itu masih sama namun kali ini, saya memilih untuk melaksanakan ibadah korban di sebuah masjid di Pendang kerana berhampiran rumah pada harga RM800," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!