JAKARTA - Menjelang Aidiladha, permintaan pisau melapah daging dan memotong tulang semakin meningkat dengan ketara, lapor Kompas.com.
Tidak terkecuali pembuat pisau di Padukuhan Kedung, di Yogyakarta dilaporkan tidak menang tangan apabila menerima banyak tempahan yang dianggap mereka sebagai rezeki berganda-ganda.
Salah seorang tukang besi di Gunungkidul, Rudianto,30, mengakui dia dihujani pemintaan untuk menyiapkan pisau menjelang hari raya korban yang ditetapkan berlangsung pada 17 Jun (Isnin) di seluruh Indonesia.
Mujurlah, pengalaman sejak kecil yang ditimba daripada bapanya yang juga merupakan pewaris tukang besi telah memudahkannya menyiapkan parang atau pisau yang ditempah pelanggannya.
Selain itu, perkembangan teknologi moden alatan pembuatan pisau telah memudahkan Rudianto menyiapkannya dengan waktu singkat.
Rudianto menceritakan dia mula belajar membuat pisau dengan meniup bara api dan kemudian menempat plat besi sehingga menjadi pisau.
"Sekarang saya sudah terbiasa melakukan sendiri tanpa dibantu sesiapa pun," katanya.
Pada hari biasa, Rudianto mampu menjual sehingga 50 bilah pisau dalam tempoh sebulan.
Bagaimanapun, ketika perayaan seperti Aidiladha, permintaan meningkat dengan mendadak dan dia berjaya menjual 60 hingga 100 bilah dalam tempoh lima hari.
Ketika ditanya harga pisau tersebut, Rudianto mengakui dia menjualnya dengan harga sekitar 22,000 rupiah hingga 30,000 rupiah (RM6.30 hingga RM8.6) sebilah.
Jelasnya, tempahan semakin bertambah apabila Aidiladha semakin hampir. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!