Aidiladha disambut meriah seluruh negara

Iklan
Jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sambutan Hari Raya Aidiladha di seluruh negara pada Isnin meriah dengan kebanyakan masjid dipenuhi jemaah yang termasuk pemimpin serta ketua-ketua negeri untuk bersama-sama bertakbir memuji kebesaran ALLAH SWT dan menunaikan solat sunat Aidiladha.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama lebih 20,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya dan mendengar bacaan khutbah Aidiladha bertajuk 'Aidiladha dan Kepedulian Sosial Kita' yang disampaikan Imam Besar masjid itu, Salahuddin Ghozali.

Iklan
Iklan

Di ibu negara, umat Islam terdiri daripada warga tempatan mahupun warga asing menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara yang diimamkan oleh Imam Besar masjid berkenaan Ehsan Mohd Husni.

Di Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menyertai lebih 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha pada jam 8.12 pagi di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, di sini.

Iklan

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Di Johor, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Pasir Pelangi, Johor Bahru bersama adindanya, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Iklan

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berkenan bersalaman dengan para jemaah ketika berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Pasir Pelangi pada Isnin. Foto Bernama

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan pegawai kanan kerajaan.

Di Pulau Pinang, Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor turut meluangkan masa menunaikan solat sunat Aidiladha bersama lebih 2,000 umat Islam di Masjid Negeri Pulau Pinang dan seterusnya pelaksanaan ibadah korban di masjid itu.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (dua dari kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (tiga dari kanan) dan para jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Pulau Pinang pada Isnin. Foto Bernama

Sebanyak 251 ekor lembu diagihkan Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang kepada 252 masjid dan 25 surau di bawah Program Korban Perdana Yayasan Tahun 2024, yang memanfaatkan kira-kira 13,500 golongan B40 di negeri itu.

Sementara itu, di Terengganu, penduduk Kampung Banggol Chempedak di Serada dekat Kuala Terengganu membuat kelainan dengan menunaikan Solat Sunat Aidiladha di tepi sungai di Dataran Banggol Chempedak pagi ini selain membawa juadah untuk dinikmati selepas solat.

Lebih 100 jemaah terdiri daripada penduduk kampung dan kawasan sekitar menunaikan solat sunat di kawasan berkenaan berikutan surau kampung itu kini dalam pembinaan baharu.

Di Negeri Sembilan, Masjid Sri Sendayan, Seremban menjadi tumpuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha yang dihadiri lebih 5,000 jemaah termasuk warga asing, dengan dipimpin imam Muhammad Anas Fikri Mohd Nasir, di samping mendengar khutbah bertajuk 'Kepatuhan Kepada Ilahi, Membentuk Kehambaan Hakiki'.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan dan berharap masyarakat terus mengingati perjuangan serta pengorbanan Nabi Ibrahim dan jadikan ia teladan hidup.

Di Melaka, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman tiba kira-kira jam 8.20 bagi menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Al-Azim, Bukit Palah.

Di Kedah pula, Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah lain di Masjid Zahir, di Alor Setar selain turut disertai Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersama barisan exco kerajaan negeri.

Sementara itu, di Perlis lebih 1,000 orang hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Balai Islam MADI, Jejawi Dalam di Arau yang turut disertai Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Di Kelantan, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Masjid Al-Ismaili, Tumpat untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan berangkat bagi menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan pada Isnin. Foto Bernama

Di Pahang, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan bersama lebih 1,000 jemaah.

Sementara itu di Perak, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 800 jemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi, di Ipoh seterusnya mendengar khutbah bertajuk 'Aidiladha:Pengorbanan Memupuk Sifat Ihsan'.

Di Sarawak, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek di Kuching.

Di Sabah, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 500 jemaah di Masjid Haji Noor, Serusup, Tuaran dan seterusnya dijadualkan untuk menghadiri majlis ibadah Korban di Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!