SEREMBAN - Golongan penceramah atau pendakwah di negara ini dinasihatkan supaya memastikan isi kandungan dakwah yang disampaikan kepada masyarakat adalah berdasarkan sumber yang tepat dan sahih berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap sesuatu isu.
"Kita nampak niat mereka ini untuk menarik orang ramai untuk beribadah, namun kebaikan hanya boleh disampaikan menerusi kebenaran, bukan dengan maklumat yang tidak tepat dan palsu.
"Jadi saya harap pendakwah, sampaikan kebaikan dengan sumber sahih.
"Kita ingin pastikan kualiti dan penyampaian itu mestilah berpandukan kepada sesuatu yang mempunyai sumber diterima Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan disiplin ilmu itu sendiri,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Qurban Bersama Komuniti Aidiladha di sini pada Isnin.
Beliau mengulas tindakan seorang pendakwah yang didakwa menggunakan hadis tanpa sumber ketika mengacarakan sebuah program televisyen baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, program hari ini merupakan aktiviti komuniti yang perlu diteruskan agar dapat merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
"Alhamdulillah, kita korban tujuh ekor lembu di sini, sangat penting kerana dalam era digital ini, kebanyakan kita menumpukan pada peranti (gadget), jadi aktiviti gotong-royong seperti ini dapat bertemu secara bersemuka,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!