SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kecekapan ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sesi Hi-Tea bersama sembilan pemimpin ASEAN di Geneva, Switzerland, semalam.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata, ia membuka jalan bagi KESUMA serta agensi seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk memimpin pelbagai inisiatif latihan dan kecekapan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.
"Tahun Kecekapan ASEAN akan menjadi usaha yang tepat mengingatkan Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan yang akan memberi tumpuan kepada meningkatkan integrasi serantau dengan mendorong perdagangan yang lancar, kerjasama ekonomi yang lebih dalam dan kawasan yang lebih terhubung.
"Ini juga akan menggalakkan pelaburan dalam tenaga kerja ASEAN dengan menekankan pembangunan kapasiti, pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan khususnya dalam bidang-bidang baru seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi semikonduktor,”katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurutnya, sebagai pihak berkuasa untuk pembangunan dan pengurusan sumber manusia di Malaysia, KESUMA berkomitmen untuk membangunkan tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif dan mampan yang mampu bersaing dalam pasaran global.
"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini untuk rantau ini melalui Tahun Kecekapan ASEAN 2025.
"Saya yakin melalui program-program yang telah dikenal pasti, kami dapat memudahkan pertukaran pengetahuan yang efektif dan perkongsian amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti tenaga kerja kami.
"Selain itu, kami juga dapat mendorong kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh di kalangan negara-negara ahli yang boleh menghasilkan strategi-strategi pembangunan modal insan yang berkesan dalam jangka masa panjang," katanya.
Sementara itu, Ketua Kemahiran dan Pekerjaan ILO, Srinivas Reddy, yang turut hadir pada majlis tersebut percaya bahawa inisiatif itu akan memberi impak positif kepada rantau ini.
"Malaysia membuat kemajuan yang sangat baik dalam usahanya untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan latihan kemahiran kepada rakyatnya, dibawah pimpinan dan visi menterinya. Saya yakin ia akan berjaya dalam memacu agenda pembangunan kemahiran bagi ASEAN tahun depan sejajar dengan mempengerusikannya dalam ASEAN,” katanya.
Srinivas juga berkongsi pengalamannya dalam menganjurkan Tahun Kecekapan Eropah pada tahun 2023 dan 2024 serta impak positif yang diperoleh inisiatif tersebut kepada kerajaan, perniagaan dan bakat-bakat di seluruh rantau.
Majlis Hi-Tea bersama pemimpin ASEAN itu turut dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei, Datuk Awang Ahmaddin Abd Rahman, Menteri Tenaga Kerja Singapura, Dr Tan See Leng, Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Mr Afriansyah Noor dan beberapa Menteri dari negara ASEAN lain.
Tahun Kecekapan ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara. Ini termasuk Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang membawa bersama peneraju industri terbaik dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan. Pada tahun 2024 dan 2025, NHCCE akan memberi tumpuan kepada keutamaan-keutamaan masa depan bagi rantau ASEAN.
Ini merupakan sebahagian daripada lawatan empat hari Steven Sim ke Geneva yang termasuk pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ILO 1981 (Konvensyen 155), ucapan plenari Menteri di Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112, dan lawatan dengan rakan antarabangsa dan tokoh-tokoh penting.