SIBU - Seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini kerugian RM13,750 selepas terpedaya tawaran kerja sambilan dalam talian.
Dalam laporan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat daerah (IPD) Sibu pada Ahad, mangsa mengadu menerima tawaran untuk memperoleh wang sampingan dengan membuat tugasan kerja di dalam Youtube selepas dimasukkan ke kumpulan Whatsapp Millennium Portfolios Event A13 oleh individu bernama Ho Siew Ming.
Mangsa memberi maklumat peribadi dan akaun pembayaran digital Touch N Go miliknya untuk tujuan dokumentasi dan pengesahan sebelum suspek mengarahkan menekan pautan https:iit.me/Joyce_WB bagi membuat tugasan diberikan.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili dalam kenyataan di sini pada Isnin berkata, mangsa turut dikehendaki menekan butang ‘subscribe’ Nike & Adidas dan dijanjikan mendapat keuntungan RM100.
Suspek juga memaklumkan kepada mangsa jika ingin mendapat keuntungan RM40,000 mangsa dikehendaki membuat tugasan seterusnya dengan memasukkan wang sebanyak RM20,000.
Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Orang ramai perlu membuat semakan terperinci dengan syarikat atau agensi berkaitan sebelum memohon atau menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan.
Selain itu, orang ramai boleh merujuk kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dan mengikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM untuk sebarang nasihat.
Mereka juga boleh membuat semakan pengesahan akaun bank dan nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!