JOHOR BAHRU - Polis sudah menahan empat lelaki warga tempatan dan sedang mengesan beberapa lagi individu yang terbabit dalam kejadian melarikan dan menculik tiga remaja di sebuah pasar raya di kawasan Skudai.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam kejadian jam 8 malam pada Sabtu, ketiga-tiga remaja lelaki berusia lingkungan 14 tahun itu telah dilarikan oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul dan dirakam gambar bogel.
"Ketiga-tiga mangsa didatangi lebih kurang 10 lelaki yang mana salah seorang dikenali remaja terbabit sebelum bertindak melarikan mangsa menggunakan tiga kereta ke sebuah lokasi yang tidak dapat dipastikan.
"Mangsa lebam di bahagian muka dan tangan berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan sebelum mereka tampil ke balai polis membuat laporan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, empat lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun telah ditahan di kawasan Skudai pada jam 8 malam Ahad bagi membantu siasatan.
"Polis turut merampas kenderaan dipercayai digunakan dalam kejadian ini serta menjumpai semula barangan milik mangsa.
"Permohonan reman terhadap keempat-empat suspek dibenarkan selama empat hari bermula Isnin. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya lagi.
Menurut Balveer Singh, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian dan usaha mengesan serta menangkap suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.
"Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ni agar menyalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Intan Khaizira di talian 013-6062618," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!