Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour rancak pelancongan domestik

Iklan
Pantai Sepat yang bakal menjadi Lokasi Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour.

KUANTAN – Hadiah wang tunai lebih RM53,000 menanti pemenang pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour-A Journey To VM2026 yang akan berlangsung di Pantai Sepat dekat sini pada 23 Jun ini.

Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara menerima RM4,000 dan ketiga RM1,000, manakala pemenang keempat akan memenangi RM500, tempat kelima hingga ke-10 pula RM300 serta ke-11 hingga 150 menerima RM180.

Iklan
Iklan

Pertandingan anjuran Wakjali Event Management yang disokong Tourism Malaysia itu akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Kaunter pendaftaran dibuka di lokasi pertandingan bermula jam 3 petang pada Sabtu hingga 12 tengah malam dan bersambung jam 7 pagi Ahad hingga pertandingan dimulakan.

Iklan

Jurucakap penganjur, Md Zali Kasran berkata, pertandingan itu adalah bagi menyokong usaha kerajaan dalam merancakkan pelancongan domestik menerusi tema Cuti-Cuti Malaysia yang didukung oleh Tourism Malaysia.

"Selain memancing, peserta yang hadir bersama keluarga untuk bercuti di pusat pelancongan popular itu, turut menyumbang kepada kerancakan ekonomi setempat khususnya dalam sektor makanan dan perhotelan,’’ katanya.

Iklan

Beliau berkata, Pantai Sepat kaya dengan pelbagai spesis ikan bergred A seperti pari, ebek, gerong belang, todak dan lain-lain.

Katanya, penganjur turut menyediakan 400 kemeja-T untuk peserta yang mendaftar awal di lokasi pertandingan.

"Bagi menggalakkan kehadiran peserta, penganjur menetapkan yuran RM75 untuk satu joran manakala bagi pemancing kurang upaya (OKU) pula hanya perlu membayar RM50,’’ katanya

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!