PELAKON Adam Corrie Lee Abdullah mendedahkan dirinya pernah makan daging babi sebelum memeluk Islam.
Pengakuan itu dibuat selepas menjawab pertanyaan isterinya, Fazima Fuad.
Dikenali dengan watak antagonis, Adam Corrie memuat naik status tersebut di Instagram miliknya hingga mencuri perhatian para peminat.
"Bidadari saya tanya, saya jawablah dengan jujur. Respon 'erkk' sebab dia ingat babi pink yang lebih ramai suka makan tapi sebaliknya.
"Sekarang ramai sudah rakan yang belum Islam tak makan daging babi atas kesedaran faktor kesihatan dan alhamdulillah, empat tahun sebelum saya syahadah atau kembali kepada fitrah, saya sudah tiada rasa nak makan babi.
"Rupanya ALLAH nak saya bersih sebelum kembali kepada fitrah," jelasnya.
Bagaimanapun katanya, setiap kejadian dicipta ALLAH SWT bukan bersifat sia-sia.
"ALLAH jadikan babi itu ujian bagi umat Islam. Jangan kita pandang hina setiap kejadian tapi pandang ia satu ujian dan hikmah di sebaliknya.
"Saya cerita ni, jadikan ia satu ilmu pengetahuan. Ambil yang positif ya. Jika kita pandang negatif, negatiflah yang kita dapat," tulisnya.
Pada entri sama, Adam memuat naik tangkap layar komunikasi antara dia dan isterinya berhubung perkara tersebut.
Ketika itu, isterinya sedang menonton televisyen berita tentang babi hutan berkeliaran masuk kampung dan kawasan perumahan, sekali gus memberi idea untuk bertanyakan kepada Adam Corrie sama ada dia pernah makan binatang tersebut atau tidak.
Adam memeluk Islam pada Julai 2007.
Beliau mendirikan rumah tangga dengan Fazima pada 21 November 2008 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata.
Sementara itu, perkongsian itu menarik perhatian para peminat yang turut berkongsi pengalaman selepas menikahi seorang mualaf.
Kata Syasudin,"Sama dengan suami saya, sebelum dia masuk Islam, saya tanya soalan yang sama juga. Memang betul babi hutan mahal sebab susah dapat."
Tambah Muslimi,"Jujur adalah terbaik. Moga terus istiqamah. Amin."