NIBONG TEBAL - Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas di Kilometer 155.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Sungai Bakap, di sini pada Selasa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira jam 4.36 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap bergegas ke lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
"Pemeriksaan dilakukan mendapati seorang mangsa tersepit di ruang penumpang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi tersepit di ruang pemandu berjaya dikeluarkan sebelum dikejarkan ke hospital.
"Mangsa yang maut berusia 30 tahun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.
Difahamkan pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!