Li Qiang adakan lawatan rasmi sempena ulang tahun Malaysia-China ke-50

Iklan
Qiang (kanan) akan mengadakan pertemuan dengan Anwar bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia selama tiga hari bermula pada Selasa.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, lawatan beliau juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China berikutan penandatanganan kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri China, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan tersebut, Qiang akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu serta bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

"Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama, termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Iklan

"Kedua-dua pihak juga akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Qiang juga akan mengadakan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Iklan

"Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.

"Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion.

"Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!