KUALA PILAH - Dua rakan baik dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu dan heroin dengan berat keseluruhan kira-kira satu kilogram, pada minggu lalu.
Tertuduh, Eshahzril Amyzul Hussin, 38, dan Asraf Tauhid, 41, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Saiful Sayoti.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama telah ada dalam milikannya satu peket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah berbahaya jenis Syabu anggaran berat kasar 25.40 gram.
Oleh itu, tertuduh bersama telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu, jika sabit kesalahan penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan juga akan dikenakan hukuman sebat.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama pada tarikh, masa dan tempat sama telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu lima paket plastik berlainan saiz berisi serbuk dan ketulan putih disyaki dadah berbahaya jenis heroin anggaran berat 1,075.30 gram.
Sehubungan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama dan dibaca Bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh, Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zainudin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah seterusnya menetapkan 18 Julai ini sebagai sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan, misi dua rakan karib membawa bekalan dadah dari Johor menghala ke Pahang tidak kesampaian selepas mereka ditahan di sebuah rumah, di Kampung Sompo Dangi, Johol di sini akibat motosikal yang ditunggang rosak.
Penahanan suspek lelaki itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.
Kedua-dua suspek yang merupakan penagih dadah tegar itu dicekup setelah mendapati memiliki 1.07 kilogram dadah jenis heroin dan 25.4 gram syabu dengan nilai keseluruhan RM41,684.80.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!