KUANTAN - Kegiatan pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini tumpas dengan penahanan seorang lelaki dan rampasan dadah seberat 56.22 kilogram yang dianggarkan bernilai RM173,600 pada Sabtu.
Lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai 'tokan' dadah itu, ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang dalam satu serbuan di kawasan tepi jalan di Lorong Seri Mahkota Permai, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan itu, polis menemukan 54 ketulan mampat dedaun kering kehijauan disyaki ganja yang disimpan di but belakang kereta jenis Perodua Myvi dinaikinya.
"Hasil ujian saringan awal polis terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, selain mempunyai sebanyak 13 rekod lampau bagi kesalahan berkaitan dadah," katanya pada sidang akhbar di bilik media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang di sini pada Selasa.
Beliau memberitahu, suspek disyaki bergerak secara solo bermula dengan mengambil bekalan dari negara jiran untuk pasaran negeri ini.
Jelasnya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini, boleh digunakan oleh seramai 56,223 penagih dadah dengan analisa penggunaan 1.0 gram bagi dadah jenis ganja.
"Suspek ini adalah pembekal utama, dan suspek sudah jalankan kegiatan ini hampir setahun," ujarnya.
Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan sebatan tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!