Halim Saad rayu keputusan Mahkamah Tinggi batal saman terhadap Tun M, dua lagi

Iklan

PUTRAJAYA - Ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad merayu keputusan Mahkamah Tinggi bulan lepas yang membatalkan saman terhadap kerajaan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Tuntutan itu berhubung kerugian yang didakwa dialaminya susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan pada 2001.

Iklan
Iklan

Peguam A Surendra Ananth mengesahkan pemfailan rayuan itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut notis rayuan, Halim memfailkan rayuan pada 11 Jun melalui firma guaman Tetuan Surendra Ananth.

Iklan

Sementara itu, notis oleh Mahkamah Rayuan bertarikh 16 Jun, memaklumkan bahawa mahkamah menetapkan 9 September untuk pengurusan kes rayuan menerusi e-Review.

Pada 9 Mei, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Dr Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan untuk membatalkan tuntutan yang difailkan oleh taikun berusia 71 tahun itu.

Iklan

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad Said memutuskan bahawa tuntutan Halim itu wujud had masa dan ia telah diputuskan pada kes sebelum ini.

Pada 17 April 2013, Halim memfailkan saman serupa terhadap Khazanah Nasional, Nor Mohamed dan kerajaan untuk menuntut kerugian lebih RM1.8 bilion kerana menjual sahamnya dalam Renong.

Bagaimanapun, pada 31 Oktober 2013, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Khazanah Nasional, Nor Mohamed dan kerajaan untuk membatalkan saman itu atas alasan Halim telah memfailkannya selepas tempoh enam tahun.

Ahli perniagaan itu kalah dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 2014. Halim kemudian gagal mengembalikan saman itu selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau untuk mendapatkan kebenaran memulakan rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya terhadap Dr Mahathir, Nor Mohamed dan kerajaan, Halim, yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong, mendakwa bahawa beliau berniat membuat tawaran am untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang membolehkannya memperoleh kawalan dan milikan penuh terhadap UEM.

Halim mendakwa beliau diarahkan oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil alih semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang dicalonkan oleh Khazanah.

Katanya, beliau didakwa telah diarahkan untuk melepaskan jawatannya sebagai pemegang saham dan pengarah UEM dan Renong, termasuk anak-anak syarikat dua syarikat berkenaan, yang memerlukan beliau menyerahkan kawalan terhadap Renong dan UEM kepada kerajaan dan menjual sahamnya dalam Renong dengan kerugian.

Halim mendakwa Khazanah telah mengambil alih semua saham UEM menerusi anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd, justeru mendapat kawalan terhadap UEM, yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Oleh itu, Halim menuntut antara lain, pampasan bagi pengambilalihan secara paksa oleh kerajaan antara Julai dan Oktober 2001 serta pengisytiharan bahawa beliau ialah pemegang saham Renong.

Dalam pernyataan pembelaan, defendan iaitu tiga pihak terbabit, menyangkal telah mengambil alih saham kedua-dua syarikat secara paksa kerana tindakan itu telah dipersetujui Halim yang menerima RM165 juta sebagai pampasan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!