ALOR GAJAH - Jika sebelum memeluk agama Islam dia hanya mengetahui aktiviti korban itu hanyalah sekadar menyembelih lembu dan mengagihkan daging kepada orang ramai.
Namun bagi seorang mualaf yang juga warga emas, Jenah Sulak, 61, setelah bergelar Muslim pada tahun 1993 baharulah dia tahu, di sebalik ibadah korban itu ada peristiwa untuk mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya.
Menurutnya, sebagai saudara baharu banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu selain menanamkan semangat kecintaan terhadap agama Islam selepas berkorban meninggalkan agama nenek moyang yang dianuti selama ini.
Katanya, setiap kali penganjuran program itu dia tidak akan ketinggalan mengikutinya termasuk anjuran masjid dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) kerana ibadah itu menyatukan umat Islam tanpa mengira warna kulit dan keturunan.
"Cuma tahun ini saya teruja sebab Akademik Al Bayan berniat mengorbankan seekor kambing atas nama saya dan seorang lagi mualaf.
"Dengan keadaan saya yang tidak bekerja dan berusia, mungkin tiada peluang untuk saya menjalani ibadah korban kerana tidak berkemampuan namun inilah Aidiladha yang mengembirakan," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Korban Perdana Al Bayan Bersama Mualaf anjuran Pertubuhan Akademi Al Bayan di Kampung Pegoh, di sini, pada Selasa.
Bagi pekerja kebun, Zulkifli Abdullah, 34, yang merupakan masyarakat Orang Asli keturunan Temuan tahun ini adalah kali pertama kali dia menyertai ibadah korban sejak memeluk Islam pada tahun 2009.
Menurutnya, ramai ahli keluarga dapat terlibat sama dalam program itu, sekali gus mencipta pengalaman melakukan ibadah selain aktiviti gotong-royong melapah daging korban.
"Alhamdulillah kali ini saya berpeluang menyertai ibadah korban dengan mualaf yang lain.
"Sememangnya mualaf perlu diberikan ilmu dan pendidikan yang mendalam mengenai ibadah ini bukan sekadar menerima daging korban," katanya yang menetap di Kampung Bukit Sebang.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, seramai 160 mualaf dan golongan asnaf yang terdiri daripada masyarakat orang Asli di negeri ini menyertai ibadah itu dan diberi peluang melapah dan memotong sendiri lembu sado serta kambing.
Menurutnya, sumbangan itu diberikan bagi berkongsi kegembiraan dan mengajar makna sebenar Aidiladha kepada golongan mualaf.
"Yang penting kita dapat mengajar tentang pensyariatan ibadah korban dan makna sebuah pengorbanan.
"Mungkin ada antara mereka yang mungkin dipinggirkan oleh ahli keluarga kerana memeluk Islam dan menerima pelbagai dugaan jadi dengan program ini kita boleh memberi semangat kepada mereka," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!