Malaysia lakukan analisis, persediaan sertai BRICS

Iklan
Mohamad (kiri) ketika hadir pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban 1445H/2024 Kementerian Luar Negeri di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong, Rantau di sini pada Selasa.

SEREMBAN - Malaysia kini sedang melakukan beberapa analisis dan pemantauan sebagai persediaan menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia membuat keputusan bersedia menjadi anggota blok-blok tertentu jika mendatangkan banyak faedah kepada negara ini.

Iklan
Iklan

"Kita akan buat permohonan untuk menjadi anggota BRICS, kita sertai blok ini mesti ada faedah kepada negara bukan untuk bermegah-megah.

"Kita sertai blok ini kerana mahu bersuara di peringkat antarabangsa kerana melalui blok kadangkala suara itu lebih berkesan daripada bersendirian," katanya.

Iklan

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban 1445H/2024 Kementerian Luar Negeri di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong, Rantau di sini pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Malaysia akan memulakan prosedur rasmi tidak lama lagi untuk menyertai BRICS.

Iklan

Anwar dipetik berkata, kerajaan telah mengambil keputusan yang sewajarnya berhubung perkara tersebut.

Dalam perkembangan berlainan, Mohamad berkata, hubungan dua hala di antara Malaysia dan China bakal terus dipertingkat dan diperkasakan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke negara ini selama tiga hari mulai Selasa.

"Hubungan Malaysia dengan China ini sudah lama, cuma hubungan diplomatik sahaja 50 tahun, tiada perkara baharu bagi kedua-dua negara ini cuma bagaimana cara untuk terus perkasakan lagi hubungan dua hala ini supaya dapat beri faedah yang banyak kepada rakyat Malaysia begitu juga China.

"China negara dagangan kita yang terbesar jadi banyak perkara boleh dirunding dan pertingkatkan demi kebaikan kedua-dua negara.

"Hubungan rapat Malaysia dan China perlu dipertingkatkan dan pada masa yang sama ada perkara yang perlu diselesai, dirunding bersama seperti masalah di Laut China Selatan.

Hubungan baik ini memungkinkan kita menguruskan apa juga masalah dengan baik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!