GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang mengenal pasti beberapa lokasi"hotspot" atau panas di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang bermula secara rasmi Sabtu ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, namun pengundi atau penduduk kawasan itu tidak perlu bimbang atau risau kerana pihak polis sudah mengambil semua langkah termasuk tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi PRK Sungai Bakap.
"Polis berada pada tahap siap sedia tertinggi dalam persiapan untuk berdepan dengan PRK DUN Sungai Bakap dan setakat ini kita juga kenal pasti beberapa kawasan panas selain kenal pasti kawasan-kawasan lain di situ yang mungkin menjadi lokasi panas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata, seramai 1,000 pegawai dan anggota polis kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang PRK Sungai Bakap iaitu bermula daripada penamaan calon sehingga proses pengundian bagi memastikan kelancaran proses demokrasi itu.
"Setakat ini, Polis Pulau Pinang akan menggunakan sumber yang ada (anggota dan pegawai dari Kontinjen Pulau Pinang) untuk bertugas sepanjang tempoh PRK Sungai Bakap melainkan jika ada keperluan mendesak kita akan mohon bantuan dari negeri lain," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai hari mengundi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun penamaan calon manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!