Kerajaan teliti implikasi, syarat cadangan letak SPRM di bawah Parlimen - PM

Iklan
Anwar bersama Wan Azizah beramah mesra bersama penduduk setempat ketika hadir pada majlis kenduri sempena Hari Raya Aidiladha kenalan lamanya Hamzah Mat Isa di sini, pada Selasa. Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Kerajaan akan meneliti implikasi berhubung cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, syarat-syarat ketat mengenai cadangan itu juga perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan berhubung perkara berkenaan.

Iklan
Iklan

"Hal itu (meletakkan SPRM di bawah Parlimen) harus kita bincang ... kita kena teliti syarat-syarat ketat (sebelum melaksanakannya),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri kenduri bersempena dengan sambutan Aidiladha kenalan lama beliau Hamzah Mat Isa di Mengkuang Semarak dekat sini pada Selasa.

Beliau turut menyifatkan SPRM kini kelihatan lebih 'garang' berbanding dahulu.

Iklan

Anwar berkata, walaupun berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, adalah menjadi tanggungjawab badan itu untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat salah laku tanpa mengira status seseorang.

Ahad lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika menjadi tetamu audio siar bersama sebuah penerbitan berita tidak bersetuju dengan cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen kerana SPRM satu-satunya agensi dipantau lima badan bebas berbanding Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang dipantau empat badan pengawasan.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri juga berikrar untuk menjadikan Cherok Tokun sebagai sebuah Kampung MADANI yang hebat di bawah inisiatif menjadikan ia kampung angkat beliau.

Terdahulu, Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa-masa kira 45 minit beramah mesra serta menyantuni tetamu yang hadir pada majlis berkenaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!