Pecut kereta selepas syabu ditemui di tempat simpanan tayar

Iklan
Hasan (tiga dari kanan) menunjukkan gambar suspek yang bertindak melarikan diri dalam sekatan jalan di RCP Sapi Nangoh, Beluran.

BELURAN - Taktik pengedar cuba menyembunyikan dadah di tempat simpanan tayar kenderaan gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila syabu bernilai RM130,000 ditemui dalam satu sekatan jalan di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, salah seorang suspek berusia 27 tahun bertindak meloloskan diri dengan memecut kenderaan ketika pemeriksaan dilakukan manakala seorang lagi lelaki berusia 43 tahun berjaya ditahan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bertugas menahan sebuah Proton Saga dinaiki dua lelaki dan ketika pemeriksaan dilakukan di bahagian but kereta didapati terdapat satu plastik hitam di tempat simpanan tayar.

"Sebaik saja plastik itu diambil, pemandu kereta tiba-tiba memecutkan kenderaan menghala ke arah jalan Telupid-Ranau dan meninggalkan penumpangnya.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut pada plastik tersebut menemui empat bungkusan teh Cina yang mengandungi hablur jernih disyaki syabu seberat 4.072 gram dengan nilai pasaran RM 130,304," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran, di sini pada Selasa.

Katanya lagi, susulan penemuan bahan terlarang itu, rampasan dilakukan dan suspek yang ditinggalkan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Suspek warga tempatan yang ditahan didapati mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil saringan urin juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, seorang lagi suspek sedang diburu dikenali sebagai Justin Vau Langat dan beralamat di Long Nahan, Baram, Sarawak.

"Suspek merupakan orang dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 di IPD Nilai, Negeri Sembilan.

"Oleh itu orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Solahuddin Mohamad di talian 019-9810144 atau mana-mana balai polis terdekat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!