Pekerja landskap reda, rumah terbakar sebelum Aidiladha

Iklan
Nur Hakimi (kiri) bersama keluarganya melihat pakaian yang disumbangkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO). Gambar kanan: Keadaan rumah sewa Nur Hakimi di Taman Krubong Permai yang terbakar pada Jumaat lalu.

MELAKA - Seorang pekerja landskap reda apabila rumah sewa yang didiami sejak tiga tahun lalu terbakar kira-kira 80 peratus sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha pada Jumaat lalu.

Nur Hakimi Ramlan, 27, berkata, biarpun sedih dan terkilan dengan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga namun bersyukur semua ahli keluarga terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika kejadian dia sekeluarga termasuk isteri, Intan Sari Jamil, 26, dua anaknya berusia satu tahun tiga bulan dan empat tahun serta ibu bapa mentuanya yang berada dalam rumah sempat menyelamatkan diri setelah api dipercayai bermula dari bilik utama.

Katanya, walaupun tahun ini terpaksa menyambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin lalu dalam suasana yang suram berbanding sebelum ini, namun bersyukur ALLAH masih memberi peluang untuk dia menyambutnya bersama keluarga.

Iklan

"Cuma terkilan kami dah beli barang-barang untuk persiapan raya namun satu pun tak dapat diselamatkan termasuk dokumen-dokumen penting.

"Saya reda biarpun ketika kejadian saya sedang tidur kerana kepenatan pulang dari kerja, namun bernasib baik kami sekeluarga terselamat dalam bencana itu," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Krubong Permai, di sini, pada Selasa.

Iklan

Ujarnya, hanya dia seorang sahaja yang bekerja manakala isterinya suri rumah, menyebabkan sehingga sekarang impiannya untuk memiliki rumah sendiri untuk memberi keselesaan kepada keluarga kecilnya belum tercapai.

Nur Hakimi bersyukur masih ada insan yang prihatin meringankan beban mereka sekeluarga yang diuji dengan rumah terbakar.

Bagaimanapun Nur Hakimi bersyukur, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) membantu membayarkan sementara bayaran sewa rumah baharu, tidak jauh dari rumah sewa yang terbakar.

"Ada juga wakil rakyat dan orang ramai yang prihatin membantu kami.

"Namun saya masih memerlukan bantuan kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup serta meringankan beban kami sekeluarga," katanya lagi.

Orang ramai yang bermurah hati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank CIMB 7626975398 atas nama isterinya Intan Sari Jamil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!