KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga lagi individu berhubung kes kehilangan wang dari beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tiga individu itu ditahan sekitar Sabah, selepas lima individu berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Perlis sejak Khamis lalu.
Kata beliau, suspek yang ditahan di Perlis akan diterbangkan ke Kota Kinabalu untuk permohonan reman dan menjalani siasatan lanjut.
"Kita percaya akan ada lebih banyak lagi tangkapan dalam masa terdekat, selepas siasatan ke atas lapan suspek yang ditahan ini.
"Selain kita memberi fokus terhadap siasatan, usaha mendapatkan kembali wang yang dilaporkan hilang turut dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ramli berkata, tujuh tangkapan yang dilakukan di Sabah terdiri daripada ahli sindiket serta kakitangan bank.
Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.
Sabtu lalu, JSJK Bukit Aman dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan seorang wanita yang merupakan pegawai sebuah bank di Kota Kinabalu, berhubung kes kehilangan wang dari akaun simpanan pelanggan bank berkenaan berjumlah RM24.2 juta pada 13 Jun lalu.
Sehari kemudian, JSJK menahan seorang lelaki yang dipercayai mendalangi sindiket yang terbabit dalam kejadian tersebut.
Ramli berkata, siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan, memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan 'bantuan' dalaman bank.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!