IPOH - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terbabas dalam kejadian kemalangan di Jalan Perindustrian Pengkalan di sini pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.33 pagi melibatkan mangsa yang berusia 27 tahun menunggang motosikal bersendirian.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang melalui Jalan Perindustrian Pengkalan menghala ke Batu Gajah dipercayai terbabas sendiri.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa terlanggar papan tanda yang terletak di atas pembahagi jalan sehingga tercabut dan diseret motosikal dinaiki ke bahu kiri jalan. Mangsa pula tercampak dan jatuh tertiarap atas jalan dalam jarak kira-kira lima meter dari tempat asal papan tanda berkenaan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Abang Zainal Abidin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!