BELURAN - [DIKEMAS KINI] Selepas tujuh hari bertarung nyawa, seorang pekerja ladang maut akibat dipukul rakan sekerja dalam satu pergaduhan di sebuah ladang di Paitan, di sini.
Mangsa berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, kejadian pergaduhan berlaku pada 8 Jun lalu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek berusia 25 tahun.
"Mangsa dan suspek dikatakan kenal sebagai rakan dan ketika kejadian, mereka bergaduh dan mangsa dipukul menggunakan kayu.
"Mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital namun selepas seminggu kemudian disahkan meninggal dunia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran pada Selasa.
Katanya lagi, susulan kejadian itu, kes diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Hasan memaklumkan terdapat satu lagi kes melibatkan pergaduhan di sebuah ladang di Telupid.
"Kejadian berlaku pada Ahad lalu di mana seorang lelaki berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah dalam satu pergaduhan sesama pekerja.
"Seorang suspek berusia 41 tahun ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!