SEOUL - Budaya membaca perlu diterapkan dalam hati dan minda anak muda kerana bangsa yang membaca adalah bangsa yang berjaya.
Begitulah konsep yang diterapkan Korea Selatan apabila menyediakan perpustakaan mini di laluan sepanjang Gyeongui meliputi kira-kira 124km dari Stesen Munsan di Paju ke Stesen Yongmun di Yangpyeong.
Terdapat lebih 500 buku yang disusun rapi di rak buku meliputi pelbagai genre termasuk novel, lapor Korea.net.
Di sebelah rak disediakan juga empat alat elektronik dikenali e-Buku untuk memudahkan penumpang mencari buku kegemaran mereka.
Rata-rata penumpang yang menaiki kereta api itu begitu teruja kerana merasakan mereka berada di dalam mini perpustakaan dan ternyata ia pengalaman cukup luar biasa.
Seorang penumpang enggan dikenali berkata,"Buku-buku ini boleh menemaninya sepanjang perjalanan bagi mengelakkan kebosanan.
"Dari asyik tertumpu kepada telefon pintar, lebih baik saya memilih untuk membaca buku. Ia adalah langkah terbaik," katanya.
Selain itu, keistimewaan kereta api ini apabila pengurusan menganjurkan program berskala kecil seperti menjemput penulis buku untuk sama-sama berkongsi pengalaman dengan penumpang.
Lebih menariknya, aktiviti dianjurkan itu semuanya adalah percuma, penumpang hanya perlu membayar tambang kereta api.
Sementara itu, menerusi Twitter, seorang wanita dikenali @iatemuggles memuat naik status mengenai kewujudan perpustakaan mini hingga mendapat perhatian netizen.
Kata Kenn,"Menarik sungguh!" manakala Baihaqi memberitahu, sekiranya konsep itu dibuat di negara ini, kebanyakan buku akan hilang sebelum tiba di stesen seterusnya.