China sedia kerjasama dengan Malaysia untuk bina komuniti China-Malaysia - Li Qiang

Iklan
Li Qiang melambaikan tangan sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bermula pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - China bersedia bekerjasama dengan Malaysia, menjadikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik sebagai titik permulaan baharu, untuk menyelaraskan strategi pembangunan, mempereratkan kerjasama yang saling mendatangkan manfaat dan meningkatkan pertukaran serta pembelajaran bersama antara tamadun, kata Perdana Menteri China, Li Qiang.

Li, yang sedang dalam lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia berkata, China juga bersedia mempromosikan pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan dan memberikan sumbangan lebih besar kepada keamanan, kestabilan, pembangunan, dan kemakmuran rantau ini serta dunia secara keseluruhan.

Iklan
Iklan

"Pada masa ini, China sedang memajukan pemodenan warga China secara menyeluruh melalui pembangunan berkualiti tinggi. Malaysia, di pihaknya, mempromosikan pembangunan negara di bawah visi Malaysia Madani. China bersedia bekerjasama dengan Malaysia...," katanya dalam kenyataan ketibaan yang disediakan kepada Bernama selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa.

Ini merupakan lawatan pertama Li ke negara ini sejak memegang jawatan itu pada Mac tahun lepas.

Iklan

Lawatannya berbetulan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, selepas penandatanganan Kenyataan Bersama antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

Menurut Li, sepanjang 50 tahun sejak penubuhan hubungan diplomatik, hubungan China-Malaysia telah mengekalkan momentum pertumbuhan yang baik.

Iklan

"Kami telah mengukuhkan kepercayaan strategik bersama, memperhebatkan pertukaran antara rakyat, dan mencapai hasil yang memberangsangkan dalam kerjasama Jalur dan Laluan yang berkualiti tinggi.

"Malaysia adalah ekonomi memuncul yang utama di Asia, ahli utama ASEAN, dan mempunyai peranan penting untuk kemakmuran serta kestabilan serantau," kata Li.

Perdana Menteri itu berkata, pertumbuhan hubungan China-Malaysia telah membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara, dan memberikan sumbangan positif kepada keamanan dan pembangunan di rantau ini.

Li berkata, beliau berbesar hati untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, saya ingin menyampaikan salam mesra dan ucap selamat kepada kerajaan dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lepas, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Anwar mencapai persefahaman penting mengenai pembinaan komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan, membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala.

Dalam lawatan rasminya kali ini, beliau"menantikan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan bertemu Perdana Menteri Anwar untuk perbincangan mendalam mengenai pembinaan komuniti berkongsi masa depan China-Malaysia dan mempereratkan kerjasama strategik menyeluruh kami."

"Saya juga akan menghadiri sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia dan Tahun Persahabatan China-Malaysia," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!