KETIBAAN Aidiladha tidak membawa sebarang makna dan hambar di tengah-tengah perang ganas di Genting Gaza yang memasuki bulan kesembilan.
Kebanyakan penduduk Palestin tiada 'mood' mahu meraikannya seperti tahun-tahun sebelum ini.
"Tiada sambutan apa-apa untuk perayaan ini. Sudah lima bulan saya tidak menjamah daging. Ia akan sama seperti Aidilfitri lebih dua bulan lalu yang tiada sebarang keraian,” kata Zaina Kamuni yang tinggal bersama keluarganya di bawah khemah sementara di 'zon selamat' ciptaan Israel di al-Mawasi.
Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menerusi catatan di platform X pada Sabtu lalu memberi amaran lebih 50,000 kanak-kanak memerlukan rawatan untuk malnutrisi akut.
"Akibat sekatan ketat berterusan kepada akses bantuan kemanusiaan, penduduk di #Gaza masih berdepan tahap kelaparan yang semakin teruk,” ujarnya.
Sehari selepas itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengumumkan operasi ketenteraan dihentikan sementara berhampiran lintasan sempadan di selatan Gaza bagi membolehkan lebih banyak bantuan dihantar ke enklaf tersebut.
Langkah itu diambil setelah Program Makanan Sedunia (WFP) menzahirkan kebimbangan tentang keadaan penduduk di selatan yang akan menerima nasib sama seperti golongan di utara yang berada di ambang kebuluran sebelum ini.
Ramai penduduk Gaza mengharapkan pelaksanaan gencatan senjata kekal, namun tiada tanda kempen pengeboman ganas itu akan berakhir dalam waktu terdekat.
Diselubungi kesedihan
Adnan Abdul Aziz, 53, yang tinggal di Deir al-Balah, tengah Gaza mengimbau semula keseronokan untuk meraikan Aidiladha termasuk membeli kambing untuk ibadah korban.
"Kami akan menikmati pelbagai juadah enak termasuk makanan tradisional Palestin yang dimasak bersama daging korban. Kami juga akan mengagihkannya kepada ahli keluarga yang lain dan golongan memerlukan,” katanya.
Kini, keadaan sama sekali berubah kerana kekurangan bekalan kuasa elektrik dan kos barangan melambung tinggi.
Abdul Aziz hanya mendapatkan makanan harian dan apa yang mampu dibeli olehnya.
"Saya juga rindukan suasana ziarah dan berkumpul dengan keluarga, membeli pakaian baharu, membuat manisan dan mengerjakan solat sunat Aidiladha.
"Kami tidak lagi boleh melakukan aktiviti tersebut. Semua orang dalam keadaan bersedih kerana kehilangan orang tersayang,” katanya dalam nada sebak.
Bagi Aya Ali Adwan, 26, dari utara Gaza, dia juga berasa tidak bersemangat seperti tahun-tahun sebelum ini.
Wanita itu yang mengikat tali pertunangan sebelum perang tercetus pada Oktober 2023 sepatutnya berkahwin pada Februari lalu, namun majlis itu terpaksa ditunda kerana kempen pengeboman yang tiada kesudahan.
"Saya dan keluarga terpaksa berpindah-randah sebanyak lapan kali sejak sembilan bulan lalu. Kini, kami berlindung di bawah khemah sesak di Deir al-Balah dengan suhu yang panas melampau.
"Kami tidak lagi teruja mahu meraikan apa jua perayaan. Kebiasaannya, kami akan sibuk membuat persediaan membuat biskut, membersihkan rumah dan membeli pakaian cantik.
"Tetapi, tahun ini tiada apa-apa buat kami sekeluarga kerana ramai saudara-mara yang lain gugur syahid dalam perang genosid tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, satu-satunya perkara yang penting buat masa ini adalah berasa selamat meskipun berdepan kekurangan daripada pelbagai segi.
"Kami hanya mahu perang dihentikan dan kami boleh kembali semula ke rumah masing-masing,” katanya lagi. - Agensi