Persiapan akhir menjelang Olimpik 2020

Iklan

GENAP enam bulan lagi Sukan Olimpik 2020 membuka tirai secara rasminya di Tokyo, Jepun.

Bagi atlet negara yang sudah layak ke Tokyo, tumpuan mereka sudah pasti mempersiapkan diri sebaik mungkin termasuk dari aspek mental dan fizikal.

Iklan
Iklan

Bagi yang masih memburu tiket Olimpik 2020, mereka kini berperang dengan masa untuk layak beraksi di pentas berprestij kali ini.

Melihatkan senarai barisan atlet negara yang layak ke Tokyo secara merit setakat ini, empat persatuan sukan kebangsaan sudah boleh mencongak peluang mereka pada temasya kali ini.

Iklan

Bagi sukan memanah, sandaran diletakkan kepada pemanah berpengalaman, Khairul Anuar Mohamad. Khairul Anuar menjadi satu-satunya pemanah negara yang telah menyambar tiket lebih awal ke Tokyo.

Kem terjun pula membuktikan mereka berada di landasan terbaik untuk sekali lagi menghadiahkan kilauan pingat buat kontinjen Malaysia. Empat penerjun wanita diketuai Pandelela Rinong, Ng Yan Yee, Leong Mun Yee dan Nur Dhabitah sudah mengesahkan slot Olimpik 2020.

Iklan

Skuad pelayaran negara juga bakal tampil di Tokyo dengan tenaga berkualiti apabila empat pelayar sudah layak beraksi pada Olimpik kali ini - Khairulnizam Mohd Affendy, Nur Shazrin Abdul Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Lalmali.

Selepas hampir 20 tahun menanti akhirnya kem gimnastik artistik negara bakal mempunyai wakil di pentas Olimpik kali ini menerusi Farah Ann Abdul Hadi.

Selain penyertaan 10 atlet terbabit, kontinjen Malaysia dijangka bertambah dengan penampilan barisan pemain badminton, jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang serta atlet daripada beberapa acara sukan lain.

Dua acara – badminton dan berbasikal trek masih menjadi prospek terbaik untuk menghadirkan pingat buat kontinjen Malaysia.

Sebagai rekod, badminton menghadiahkan tiga perak dan berbasikal trek menyumbang satu gangsa menerusi Azizulhasni pada Olimpik 2016.