PONTIAN -"Belum gugur lagi, tetapi sudah ditempah pelanggan," kata Abd Hadi Ahmad Sani, 47, ketika ditemui di kebun duriannya di Kampung Sawah, Pekan Nanas.
Menurutnya, durian kampung dari pokok yang sudah mencapai usia hampir 100 tahun di kebunnya sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
"Satu pokok durian kampung boleh berbuah antara 200 hingga 500 biji dengan, satu biji durian dianggarkan seberat dua kilogram.
"Lagi lama pokok, buah durian lagi sedap. Disebabkan itu, ramai yang mencari durian kampung di sini kerana kualiti buahnya," katanya.
Abd Hadi memberitahu, durian kampung di kebunnya dijangka gugur pada Julai nanti.
Jelasnya, selain membeli buah durian, pelanggan juga boleh menikmati keenakan raja buah di dalam dusun durian.
Tambahnya, sejak konsep santai makan durian diperkenalkan sejak lapan tahun lalu, dusun durian miliknya yang turut dikenali sebagai dusun durian landak itu sering menjadi buruan peminat durian.
Katanya, pada musim durian luruh pada bulan Disember tahun lalu, dianggarkan hampir 3,000 orang mengunjungi dusunnya.
"Kedudukan dusun di Pekan Nanas berhampiran dengan Johor Bahru dan Iskandar Puteri menjadi faktor tarikan utama.
"Setiap tahun bilangan pengunjung yang datang semakin bertambah. Oleh itu, beberapa langkah telah diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan termasuk topi keledar ketika mengutip durian," ujarnya.
Selain durian kampung pelbagai jenis buah durian berkualiti antaranya musang king, IOI dan udang merah turut ditanam di dusunnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!