ISU van sekolah haram bukanlah perkara baharu, malah didakwa sudah berlarutan lebih 20 tahun.
Pelbagai tindakan operasi penguatkuasaan telah pun diambil oleh pihak berkuasa bagi membendungnya, namun didapati masih gagal menyelesaikan isu itu, sekali gus menimbulkan persoalan kenapa khidmat van ‘sapu’ terus menjadi pilihan.
Malah bagi mengaburi mata pihak berkuasa, ada di antara pengusaha tidak berlesen ini mengecat van mereka berwarna kuning.
Menerusi Apa Khabar Rakyat kali ini, wartawan Sinar Harian, Syamilah Zulkifli menyingkap keluhan pengusaha van dan bas sekolah 'halal' di Seremban, Negeri Sembilan berhubung isu terbabit yang tidak pernah berkesudahan.
Seorang pengusaha, Sakilah Yaani, 54, berkata, aktiviti pengusaha van haram telah menjejaskan pendapatan pengusaha berdaftar seperti mereka apabila sebahagian ibu bapa memilih perkhidmatan terbabit.
Menurutnya, ada seorang penjaga pernah menghubunginya, memberitahu tidak mahu lagi menggunakan khidmatnya kerana anaknya mahu menaiki van lain, yang rupa-rupanya adalah perkhidmatan haram.
"Jadi saya dapati ada setengah ibu bapa tak ambil tahu pun soal perkhidmatan van digunakan berdaftar atau tak kerana yang mereka nak tahu anak sudah sampai ke sekolah,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, dia tidak pasti jika ibu bapa memilih van sekolah haram disebabkan harga yuran dikenakan lebih murah.
Ini kerana katanya, dia sendiri hanya mengenakan yuran RM80 bagi penghantaran anak- anak di kawasan Senawang dan ia agak berpatutan.
"Kalau bahagi RM80 itu dengan 24 hari persekolahan, bagi saya dah murah sangat,” katanya yang sudah mengusahakan perkhidmatan van sekolah selama 23 tahun.
Kata Sakila lagi, pengusaha van dan bas sekolah berpermit juga perlu menanggung kos untuk memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik ketika melakukan pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) enam bulan sekali.
Seorang lagi pengusaha, Mohd Syafiq Mohd Rofik, 32, mendakwa, isu van sekolah haram berlaku hampir di semua sekolah dan ia seolah-olah sukar dibanteras walaupun penguatkuasaan telah dilakukan pihak berkuasa.
Menurutnya, sudahlah perkhidmatan tersebut dilakukan secara tidak sah dan pada masa sama didapati membawa terlebih muatan penumpang yang nyata berisiko.
Dia mendakwa, bagi mengaburi mata pihak berkuasa ada yang mengecat van mereka dengan warna kuning.
"Ia beroperasi tanpa permit serta tidak dilindungi insurans dan kenderaan itu berstatus persendirian.
"Macam kami pengusaha berdaftar ini, banyak prosedur perlu dilalui antaranya perlu ada permit, buat ujian di Puspakom serta dalam kenderaan perlu disediakan peti keselamatan,” katanya.
Oleh sebab itu katanya, sekiranya berlaku kemalangan, pelajar tidak dapat membuat apa- apa tuntutan kerana status van itu yang tidak memiliki permit.
Justeru itu, dia berharap tindakan undang-undang lebih tegas dapat diambil terhadap pengusaha van atau bas sekolah haram ini bagi mengurangkan kewujudannya.
Pengusaha van sekolah, Abibah Husin, 65, pula mendedahkan ada ibu bapa yang sanggup membayar yuran sehingga RM160 kepada pengusaha tak berdaftar.
"Yang berdaftar tak sampai harga macam itu, paling tinggi pun kebanyakan daripada kami naikkan sehingga RM100.
"Tak tahulah kenapa ibu bapa sanggup pula bayar semahal itu sedangkan perkhidmatan digunakan adalah haram dan sangat berisiko,” katanya.
Dia juga mengakui kemungkinan faktor ibu bapa terpaksa memilih van atau bas sekolah haram disebabkan sukar mendapatkan perkhidmatan itu di tempat mereka.
Pada masa sama Abibah tidak menafikan pihak berkuasa sememangnya ada mengambil tindakan bagi membendung isu tersebut daripada terus berleluasa
Namun dia berharap penguatkuasaan dilakukan secara berkala dan bukannya apabila isu berkenaan timbul saja.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!