PUTRAJAYA - Dalam era globalisasi, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar terutama dalam memberi fokus kepada pembinaan diri murid.
Peranan guru kini bukan hanya menjadi pendidik, sebaliknya rutin harian tidak terlepas daripada mengurus kehadiran para pelajar demi menghasilkan murid cemerlang dan terbilang.
Perkara itu dikongsi seorang guru, Mohamad Iqbal yang membantu anak muridnya kerana tidak hadir ke sekolah sejak dua minggu lalu kerana tiada pengangkutan.
"Hampir dua minggu tak datang sekolah kerana tiada kenderaan. Hanya ada sebuah motosikal yang rosak. Pergi kerja atau ke mana-mana hanya menaiki bas.
"Mak ayah kerja syif yang berbeza, mak kerja pagi, ayah jaga bayi 9 bulan dan 4 tahun di rumah kerana tidak mampu hantar rumah pengasuh apatah lagi taska. Mak balik malam, ayah pula pergi kerja," kata guru ini menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Ekoran masalah tersebut, ibu bapa muridnya memohon maaf kepadanya kerana tidak dapat menghantar anaknya ke sekolah.
Atas dasar mengutamakan pendidikan, guru tersebut sudi mengambil dan menghantar muridnya itu ke sekolah sehingga proses pertukaran sekolah kanak-kanak berusia 7 tahun selesai.
"Saya akan ambil dan hantar setiap hari sehingga anak puan dapat bertukar ke sekolah yang berdekatan dengan rumah. Jangan abaikan sekolahnya kerana dia baru Tahun Satu. Panjang lagi perjalanan dia," katanya.
Sementara itu, netizen yang terharu di atas pengorbanan guru itu mendoakan ALLAH memberi ganjaran kepadanya.
Salmah Rani berkata,"Moga ALLAH beri ganjaran kebaikan pada tuan."
Cäpt Heli Inspirasi pula memberitahu,"Tahniah dan terbaik cikgu. Moga ramai lagi guru menjiwai amanah-Nya dan menjaga amanah-Nya."