SHAH ALAM - Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Datuk Zuraida Kamaruddin mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil idak memahami isu berkaitan tugas hakiki penjawat awam.
Menurutnya, kelemahan jentera komunikasi dan ketiadaan mekanisme yang betul menyebabkan kementerian tersebut terpaksa mencari alternatif bagi menangani kritikan daripada masyarakat.
Ujarnya, pertambahan tugas adalah kaedah pembulian yang nyata kerana mereka terpaksa bekerja selepas waktu pejabat dan seterusnya tidak dibayar.
"Andaian saya benar apabila Kor Ming mahu penjawat awam bertindak sebagai 'cybertrooper' bagi menangani sebarang kritikan manakala Fahmi teruja mempertahankan tindakan itu dengan mengatakan tiada pertindihan unit penerangan, tetapi hakikatnya jentera penerangan kerajaan yang lemah.
"Penjawat awam sedia ada yang terbeban dengan tugas di pejabat, kini terpaksa berhadapan dengan netizen setelah pulang ke rumah atau semasa cuti mereka semata-mata untuk menjawab persoalan rakyat di media sosial.
"Mereka perlu menilai semula tindakan atau kenyataan yang bakal dilaksanakan terlebih dahulu sebelum mengumumkan sesuatu kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 13 Jun lalu, KPKT melantik 200 Duta Online yang terdiri daripada kakitangan kementerian itu bagi menangkis fitnah dan menyampaikan maklumat sahih serta polisi kerajaan secara efektif.
Fahmi dilaporkan berkata, pasukan Duta Online yang ditubuhkan oleh KPKT tidak akan bertindih dengan jabatan-jabatan yang lain.
Mengulas lanjut, menurut Zuraida, inisiatif Duta Online KPKT mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan mendakwa ‘membuli’ penjawat awam di luar waktu bekerja serta mengganggu bidang tugas mereka.
Beliau turut mencadangkan supaya inisiatif tersebut dihapuskan dan kementerian itu perlu menerima kritikan bagi menyelesaikan masalah secara proaktif.
Ujarnya, Fahmi dan Kor Ming perlu melakukan perubahan seperti yang dijanjikan oleh parti sebelum memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tambah beliau, Kor Ming dan Fahmi perlu bertanggungjawab dalam mengendalikan kedua-dua kementerian tersebut bagi memastikan pertumbuhan serta pembangunan negara berada di landasan yang tepat.
"Jangan terlalu defensif dengan kritikan dan sekiranya ada berlaku elemen fitnah dalam kritikan rakyat, gunakan sahaja saluran perundangan yang betul.
"Gunakanlah peluang ini untuk melaksanakan reformasi yang dijanjikan oleh parti sebelum ini. Hargailah penjawat awam yang telah banyak berkorban demi pembangunan negara kita,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!