SUNGAI PETANI - Seorang bayi lelaki cukup sifat diselamatkan kakitangan Orphancare Foundation di sini setelah ditinggalkan bersama uri yang dibalut kain pelekat pada 23 April lalu.
Bayi yang dipercayai baharu dilahirkan itu dikatakan berkulit cerah dan rambut sedikit perang, dilaporkan dalam keadaan sihat.
Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda, Fatin Nur Alia Mat Zawi berkata, bayi berkenaan disedari kakitangan bertugas, ditinggalkan di premis tersebut pada jam lebih kurang 5.15 pagi.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dibuat didapati, terdapat uri yang telah dibalut menggunakan kain pelekat diletakkan bersama.
"Bayi berkenaan telah dibawa bagi mendapatkan rawatan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini," katanya.
Fatin Nur Alia berkata, bayi yang diberi nama Muhammad Salleh itu telah menerima rawatan di HSAH bermula 23 April lalu sebelum dibenarkan pulang pada 2 Jun 2024.
"Dia kini berada bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke Pejabat JKM Kuala Muda atau berhampiran," katanya.
Muhammad Salleh kini dilaporkan berada dalam keadaan baik dan jangkaan usianya mencecah dua bulan.
Katanya, siaran media dilakukan bagi tujuan pengesanan waris selain rujukan pihak berkaitan.
Sekiranya tiada waris yang tampil, dia dilaporkan akan diserahkan kepada keluarga pelihara berdasarkan prosedur ditetapkan JKM.
Difahamkan, Orphancare Foundation yang terletak di Taman Ria Jaya di sini, dibuka 24 jam bagi tujuan menyelamatkan bayi dari dibuang di tempat tidak sepatutnya.