KUALA TERENGGANU - Seramai 350 penduduk Pulau Redang menerima sumbangan daging korban menerusi program dijalankan secara kolaborasi antara Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bersama syarikat swasta pada Rabu.
Pengarah JPNT, Jelani Sulong berkata, pada program itu sebanyak empat ekor lembu ditumbangkan termasuk dua ekor lembu sado baka Charlois dengan setiap seekor seberat kira-kira 850 kilogram.
Menurutnya, daging korban itu diagihkan kepada seramai lebih 1,000 penerima terdiri dalam kalangan golongan memerlukan.
"Sumbangan lembu korban itu akan diagihkan termasuk kepada penduduk-penduduk yang tinggal di Pulau Redang.
"Daging lembu korban itu akan dibawa masuk ke pulau tersebut pada petang ini," katanya ketika ditemui di pekarangan JPNT di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Jelani berkata, pihaknya amat menghargai sebarang bentuk kolaborasi daripada syarikat swasta dan korporat untuk aktiviti kebajikan kepada orang ramai terutama golongan asnaf.
"Kita harap kerjasama yang dijalinkan bersama syarikat swasta pada hari ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Mahsuri Dagang, Aida Yusop berkata, tahun ini merupakan tahun keempat pihaknya melaksanakan ibadah korban untuk berkongsi rezeki bersama golongan asnaf melibatkan beberapa negeri di seluruh negara.
"Selain menyumbangkan haiwan korban, kita turut menyumbangkan 1,200 botol produk untuk diagihkan bersama pek daging korban pada hari ini.
"Kita harap sumbangan ini dapat menceriakan penerima daging korban terutama golongan asnaf termasuk penduduk di Pulau Redang," katanya.
Beliau berkata, ibadah korban itu bukan sahaja dapat membantu orang ramai dengan pemberian daging korban malah pembelian lembu dari penternak tempatan juga diharap akan membantu industri ternakan penduduk tempatan.
"Aktiviti menyembelih, melapah dan mengagihkan daging korban hari ini berjalan lancar dengan kerjasama warga JPNT yang bertungkus lumus bergotong-royong sejak pagi tadi," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!