KOTA BHARU - Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) julung kali melaksanakan ibadah korban bagi mengagihkan daging lembu kepada lebih 100 penerima termasuk pengamal media dan asnaf.
Presidennya, Muhammad Yatimin Abdullah berkata, sejak 12 tahun penubuhan kelab, Kemudi kali ini berpeluang melaksanakan ibadah korban sekali gus berkongsi rezeki dan membantu golongan berkenaan.
"Dalam kesibukan melaksanakan tugas melaporkan berita, kami mencari kelapangan untuk menyembelih seekor lembu sempena Aidiladha.
"Lembu yang disembelih ini dari baka brahman seberat 410 kilogram bernilai RM5,800 dan diagihkan kepada ahli antaranya wartawan, jurugambar dan asnaf di Kota Bharu serta Pasir Mas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi penyembelihan di Kampung Pauh, di sini, pada Rabu.
Program turut dilaksanakan dengan kerjasama Ladang Lembu Kelantan.
Muhammad Yatimin yang juga Ketua Biro Kelantan Utusan Malaysia berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan ibadah korban sebagai acara tahunan kelab itu dengan membuka peluang korban kepada ahli mengikut bahagian.
Menurutnya, Kemudi yang mempunyai 88 ahli daripada 14 agensi media di Kelantan itu mahu menyuburkan budaya kebajikan dalam kalangan ahli.
"Kemudi meletakkan kebajikan sebagai perkata utama dalam kalangan ahli.
"Program kali ini turut disertai 15 ahli yang membantu proses penyembelihan dan agihan selain 10 ahli yang bukan muslim diberikan sumbangan hamper bagi menggantikan daging korban,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Abdul Halim Isa, 79, Hari Raya Aidiladha memberi peluang kepadanya dan keluarga menikmati juadah daging yang jarang-jarang sekali dibeli.
"Dulu saya bekerja sebagai pengayuh beca tetapi sejak Covid-19 melanda pada 2019, saya sudah berhenti dan tidak mempunyai punca pendapatan.
"Nak beli sendiri daging yang berharga RM33 sekilogram itu memang tidak mampu,” katanya.