KUALA LUMPUR - Keputusan dan proses untuk Malaysia menganggotai BRICS akan dipacu oleh Putrajaya, kata Duta Malaysia ke Moscow, Datuk Cheong Loon Lai.
"Saya percaya masih terlalu awal untuk saya memberikan sebarang komen (mengenai perkara ini)," katanya ketika dihubungi oleh Bernama pada Selasa.
Loon Lai berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Malaysia menyertai kumpulan BRICS seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Dalam wawancara dengan media China, Guancha, Anwar dilaporkan berkata Malaysia akan memulakan prosedur rasmi untuk menyertai organisasi antara kerajaan itu tidak lama lagi.
"Kami telah menjelaskan dasar kami dan kami telah membuat keputusan," katanya.
Pada Januari 2024 pula, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.
Walaupun Moscow mengalu-alukan anggota baharu BRICS, ia menetapkan kriteria utama bahawa negara yang berhasrat menyertai kumpulan ini tidak boleh mengambil bahagian dalam sekatan unilateral yang tidak sah.
Ditanya mengenai hubungan dua hala Malaysia-Rusia, Loon Lai berkata, Kedutaan Malaysia di Moscow optimis bahawa hubungan Malaysia-Rusia terutama dalam sektor perdagangan akan turus kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Beliau berkata, hubungan Malaysia-Rusia berjalan dengan sangat baik dan kedua-dua negara akan terus bekerjasama.
"Perdagangan dua hala Malaysia dengan Rusia terus berkembang secara stabil, walaupun berdepan landskap ekonomi global yang mencabar.
"Jumlah perdagangan mencecah AS$3.11 bilion (RM14.6 bilion) pada 2023, berbanding AS$2.79 bilion (RM13.1 bilion) pada 2022," katanya.
Mengulas lanjut mengenai hubungan baik Malaysia-Rusia, Loon Lai berkata, perkembangan positif itu diterjemah melalui penyertaan dalam XV Russia-Islamic World - KazanForum 2024 di wilayah Tatarstan, Rusia bulan lalu.
Semasa forum itu, Malaysia mendirikan astaka atau pavilion yang mempromosikan pelbagai sektor termasuk industri Halal, sektor pendidikan, pertanian serta produk makanan dan minuman.
Penyertaan Malaysia dalam KazanForum tahun ini lebih besar berbanding tahun sebelumnya, katanya.
Loon Lai berkata, delegasi dari Tatarstan, Rusia akan turut serta dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia edisi ke-20 yang akan dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada September ini.
Sementara itu, Malaysia menyaksikan peningkatan ketara melibatkan ketibaan pelancong Rusia pada 2023 dengan sejumlah 109,689 pelawat, menandakan pertumbuhan luar biasa sebanyak 232.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata beliau.
"Peningkatan mendadak ini menunjukkan daya tarikan Malaysia yang berterusan dan kedudukannya yang terus meningkat sebagai destinasi pilihan dalam kalangan pelancong Rusia.
"Tourism Malaysia menjangkakan pertumbuhan sebanyak 30 peratus dari pasaran Rusia, dengan jumlah ketibaan dijangka sebanyak 140,000 pada tahun ini," katanya.
Beliau juga berkata, DE Rantau Nomad Pass, sejenis Pas Lawatan Profesional baharu diperkenalkan bagi membolehkan mereka yang layak untuk melancong dan bekerja di Malaysia juga sangat popular di kalangan warga Rusia.
Pada 2023, golongan profesional Rusia telah muncul sebagai satu daripada tiga pemegang utama pas nomad digital baharu ini.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah memperkenalkan program DE Rantau sebagai inisiatif menjadikan Malaysia sebagai hab nomad digital pilihan di ASEAN.
Inisiatif ini sekali gus meningkatkan pendigitalan dan mempromosi mobiliti profesional serta pelancongan di seluruh negara. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!