KPDN Kelantan akan pasang CCTV di stesen minyak di sempadan negara

Iklan
KPDN Kelantan akan memasang CCTV di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan. Gambar fail Bernama

KOTA BHARU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di stesen-stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bagi tujuan pemantauan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, dalam masa terdekat sebagai permulaan, CCTV itu akan dipasang di stesen-stesen terpilih yang dipercayai sering menjadi pilihan penyeludup.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah itu antaranya adalah sebagai langkah mencegah kegiatan pembelian minyak secara berulang yang dibimbangi untuk tujuan penyeludupan.

"Buat masa sekarang, pendekatan KPDN adalah dengan meletakkan anggota penguat kuasa secara statik di beberapa stesen terpilih seperti di Tumpat dan Pasir Mas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Azman berkata, perkara itu masih dalam perbincangan dengan syarikat-syarikat minyak dan masih belum dimuktamadkan lagi.

"Setakat ini stesen minyak sudah mempunyai CCTV masing-masing dan sekiranya pemantauan mahu dilakukan, pihak KPDN perlu ke stesen minyak untuk membuat pemantauan khususnya melihat di CCTV stesen.

Iklan

"Apa yang kita inginkan adalah pemantauan boleh dilakukan daripada pejabat sahaja,” katanya.

Di daerah bersempadan terdapat 46 buah stesen minyak dalam radius 20 kilometer yang menjadi tumpuan penyeludup bahan api berkenaan, tambah beliau. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!